Saturday, September 20, 2008

Puasa didik Muslim jadi hamba takwa

Ramadan beri peluang kepada manusia kekang nafsu, lebihkan sedekah

RAMADAN yang banyak keistimewaan diumpamakan seperti kem latihan membentuk Muslim lebih bertakwa. Memasuki kem Ramadan setiap tahun adalah seperti servis kenderaan secara berkala bagi memastikan prestasi enjin pada tahap terbaik.

Ibadat puasa mendidik diri menjadi hamba bertakwa dan membersihkan daripada sifat buruk. Sebab itu ibadat puasa dianggap penting bagi umat Nabi Muhammad. Puasa juga disyariatkan kepada semua agama langit seperti Kristian dan Yahudi.


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)


Malah penganut Hindu dan Buddha juga mengamalkan puasa mengikut cara mereka. Orang Barat mengamalkan berpuasa untuk kesihatan. Kajian perubatan moden menerangkan kebaikan berpuasa dari segi kesihatan.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan niat ikhlas mengabdikan diri kepada Allah SWT, mendapat balasan yang amat istimewa dan tiada tandingannya. Puasa menjadi benteng yang kukuh mengelak diri daripada terpengaruh daripada melakukan perbuatan tercela.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Puasa itu adalah benteng daripada kejahatan." (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasai).

Puasa juga mengekang nafsu syawat. Rasulullah memerintahkan teruna dan dara yang berkeinginan kepada seks, tetapi tidak mampu berkahwin, maka hendaklah mereka berpuasa bertujuan mengelak melakukan amalan buruk.

Ikhlas dan istiqamah dalam ibadat amat penting dalam ibadat. Apa yang dilakukan hendaklah dalam kesedaran bahawa ia dilakukan kerana Allah SWT dan hanya mengharapkan balasan daripada-Nya.

Puasa yang dilakukan secara terikut-ikut dinamakan puasa ritual. Amalan-amalan puasa ritual tidak bertahan lama dan tidak ikhlas.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah (dengan jujur), maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tiada berduka cita." (Surah al-Ahqaf, ayat 13).

Perbuatan terlalu mencintai dunia dapat dihindarkan jika melaksanakan puasa dengan ikhlas dan sempurna. Rasulullah menyebut perasaan mencintai dunia melebihi kepentingan hidup di akhirat sebagai satu penyakit umat akhir zaman yang membawa ke arah kehancuran.

Perasaan terlalu mencintai dunia akan menghalang seseorang daripada membelanjakan apa yang dimiliki ke jalan Allah. Usaha yang dilakukan semata-mata mengharapkan habuan di dunia seperti wang ringgit, harta benda, pangkat, kedudukan dan pujian.

Orang berpuasa sentiasa merasakan dirinya hampir dengan Allah SWT. Dia berusaha melakukan amalan yang disukai Allah SWT. Mereka sedar segala kekayaan dan kejayaan yang dimiliki di dunia ini datangnya daripada Allah SWT.

Pekerti mulia yang lahir hasil melakukan ibadat puasa ialah bersedekah. Banyak orang menghulur sedekah pada bulan Ramadan. Sikap ini bertepatan dengan pesan yang dinyatakan oleh Rasulullah bahawa seutama-utama sedekah ialah yang dilakukan pada bulan Ramadan .

Sebab itu amat ditekankan supaya menghulurkan sedekah walaupun dalam jumlah sedikit. Selain sedekah dalam bentuk wang dan barang keperluan, sedekah berupa makanan juga amat digalakkan dilakukan pada bulan Ramadan.

Penyediaan makanan berbuka dapat membantu golongan miskin dan merapatkan tali persaudaraan. Majlis berbuka disertai saudara mara, rakan dan jiran tetangga membentuk rasa muhibbah dan memperkuatkan perasaan kasih sayang.

Sesiapa yang menyediakan hidangan berbuka puasa beroleh pahala puasa orang yang berbuka itu, tanpa sedikitpun pahala orang itu berkurangan.

Sedekah juga adalah mekanisma untuk membersihkan diri dan harta daripada unsur-unsur kotor. Harta yang diperoleh secara salah, sama ada secara sedar dan tidak sedar, perlu dibersihkan dengan cara disedekahkan kepada orang miskin.

Firman Allah SWT bermaksud: "Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah amat mendengar lagi amat mengetahui." (Surah at-Taubah, ayat 103).

Justeru, pada Ramadan yang diberkati perlu ditekankan sifat bersedekah dan membantu orang yang memerlukan. Di sebalik ibadat puasa tersimpan tujuan agar lahir rasa keinsafan dan bersyukur akan nikmat yang dirasai berbanding orang lain yang hidup lebih menderita.

Menahan lapar dan terhalang daripada melakukan perbuatan yang membatalkan puasa, satu ujian besar bagi golongan kaya. Ketika menjalani ibadat puasa, semua orang tanpa mengira kekayaan dan kedudukan terpaksa melalui satu situasi yang sama, iaitu berlapar dan menahan diri daripada melakukan perbuatan membatalkan puasa.

Lapar ketika berpuasa hanya sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Sesiapa yang bersabar bakal beroleh kegembiraan di akhirat.

Firman Allah SWT bermaksud: "Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda, dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benarnya akan dapat berasakan bahawa semua kekayaan dan kejayaan dimiliki tidak lagi bernilai, melainkan ketakwaan dan keimanan saja yang menjadi penentu kehidupan di akhirat.

Membersihkan diri daripada dosa berkaitan harta perlu disegerakan. Sifat sayangkan dunia menjadi senjata utama syaitan menyesatkan manusia. Biarpun ajal sudah amat hampir, masih terbayang kepada kekayaan, pangkat dan kemewahan yang disayangi.

Ketika hampir ajal, syaitan mendekati orang terlalu sayangkan dunia, lalu ditawarkan bantuan untuk mencapai segala impian. Syaitan menawarkan bantuan dengan syarat manusia sanggup mengakui kekuasaan syaitan.

Orang tamak dan terlalu sayangkan dunia mudah dikuasai syaitan ketika hampir ajalnya dan matilah dia dengan keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Amat buruk sikap mereka dilalaikan harta benda.

Firman Allah SWT bermaksud: "Biarkanlah mereka makan dan bersenang-senang, mereka dilalaikan oleh angan-angan dan mereka akan mengetahui akibatnya." (Surah al-Hijr, ayat 3).

Rasa keimanan yang disuburkan sepanjang Ramadan membersihkan diri daripada sifat tercela. Latihan Ramadan menumbuhkan tunas dan menyuburlah sifat Muslim sejati.

Pada Ramadan Allah SWT membuka seluas-luasnya pintu taubat bagi membersihkan diri. Siapa membersihkan diri maka dialah orang beruntung. Manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Dalam surah al-Maidah ayat 39 Allah SWT berfirman bermaksud: "Maka barang siapa bertaubat selepas melakukan kejahatan itu dan membaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

No comments: