Sunday, August 3, 2008

Ulul Albab: Israk Mikraj motivasi ketuanan umat


Muslimin mesti mantapkan silaturahim, mengota ikatan janji sesama sendiri

DALAM satu kaedah fekah ada disebut iza daqa al-amru ittasa', maknanya jika sesuatu perkara sudah sampai ke tahap yang sempit maka ia akan menjadi luas. Contohnya, jika kita dalam keadaan lapar kemudian kita tidak temui makanan yang halal, selain makanan haram maka kita dibenarkan untuk memakannya kerana darurat.

Kaedah fekah ini banyak digunakan dalam konteks siasah syariah yang sememangnya berdepan dengan isu semasa yang tidak ada nas syarak sarih atau jelas mengenai satu-satu masalah. Kaedah ini adalah hadiah berharga daripada ajaran Islam kepada seluruh manusia kerana rahmat Allah akan diberikan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya di mana satu daripada fenomena rahmat ini ialah jika seseorang menghadapi satu kesempitan pasti akan diadakan jalan untuk menyelesaikannya selagi individu berkenaan ingat kepada Allah SWT.


Nabi Musa AS dan pengikutnya, Bani Israil ketika dalam kesempitan tidak ada jalan di hadapan kecuali laut yang melintang luas apabila dikejar Firaun dan tenteranya, mendapat penyelesaian serta-merta daripada Allah SWT.

Al-Quran mengisahkan maksudnya: "Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika matahari terbit. Selepas kedua-dua kumpulan nampak satu sama lain, berkatalah orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan." Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fakir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolongan-Nya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku." Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Selepas dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya)." (Surah al-Syu'ara: 60-66) Satu pengajaran daripada kisah ini ialah apabila kita sudah sampai ke satu tahap yang sempit maka ia akan menjadi luas.

Hal ini juga yang berlaku kepada junjungan besar Muhammad SAW. Apabila Baginda sudah sampai pada satu tahap yang sudah tidak boleh bergerak lagi dalam penyebaran dakwah Islam di Makkah, maka Allah menjadikan peristiwa Israk Mikraj untuk Baginda sebagai tanda bukti sokongan kepada Baginda.

Pada hari sebelum peristiwa Israk Mikraj ada beberapa kejadian yang membuat Baginda berasa sedih, antaranya apabila bapa saudara Baginda, Abu Talib dan isteri Baginda, Khadijah meninggal dunia. Mereka berdua adalah tulang belakang permulaan dakwah Islam di Makkah.

Ketika Baginda pergi ke Taif dengan harapan untuk mendapat perlindungan daripada penduduk kawasan itu, sebaliknya pula sambutan diterima, iaitu Baginda ditentang dan diusir balik ke tempat asal.

Dalam misi Taif ini, Baginda mendapat dugaan yang tidak kalah beratnya daripada apa yang didapati di Makkah. Penduduk Taif membaling Baginda sehingga darah mengalir daripada wajah Baginda walaupun mempertahankan muka dengan sepasang seliparnya sambil duduk. Kejadian yang membuat marah malaikat penjaga gunung Taif dan mereka meminta kebenaran Baginda untuk membenamkan penduduk Taif ke dalam bumi tapi tidak dibenarkan Baginda kerana Baginda percaya penduduk terbabit akan menerima Islam.

Oleh kerana penerimaan penduduk bumi terhadap Nabi sedemikian rupa, maka peristiwa Israk Mikraj ini menjadi penglipur lara dan penghibur hati Baginda. Ia adalah isyarat kepada penghuni bumi (Makkah dan sekitarnya) bahawa jika mereka tidak mahu menerima Muhammad maka penghuni langit akan menerimanya dengan senang hati dan penuh bangga. Betapa tidak, bukankah Muhammad makhluk paling mulia di sisi Allah?

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah kemuncak penghormatan dan pemuliaan Allah terhadap nabi-Nya yang bernama Muhammad yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa pun juga termasuk malaikat kanan, Jibril AS. Dalam peristiwa yang berlangsung beberapa bulan sebelum hijrah ke Madinah itu, Allah SWT sudah menghampiri dan terus bertambah hampir, sehingga antara-Nya dengan Muhammad antara jarak anak panah dengan busurnya, atau lebih hampir daripada itu.

Nabi Muhammad pada kemuncak itu sendirian, manakala Jibril AS berada pada kemuncak yang lain yang lebih rendah daripada kemuncak yang dicapai Nabi junjungan SAW. Di situlah berlaku suatu munajat besar dengan Allah SWT. Di situ juga disampaikan wahyu langsung daripada Allah. Dan di situ juga berlaku penglihatan terhadap wajah Allah.

Sebenarnya peristiwa Israk Mikraj lebih luas dan lebih umum daripada menjadi sesuatu peristiwa sejarah semata, dan sesudah itu tidak ada lagi yang harus dikata dan dibicarakan. Ia adalah suatu gambaran bagi kehidupan Muslim dan mengandungi pelbagai nasihat serta contoh teladan yang hampir tiada dikenali manusia.

Muhammad sudah dipilih oleh Allah untuk memikul perutusan-Nya. Akan tetapi sebelum itu Allah sudah membentuk peribadinya terlebih dahulu sehingga diserahkan kepadanya tanggungjawab kenabian.

Jika umat Islam memiliki pemimpin seperti Nabi Muhammad SAW sudah semestinya mereka berasa bangga dan jika mereka berasa bangga, maka sudah sepatutnya mereka akan menerima dan mengamalkan risalah Islam sepenuhnya. Dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita sudah perhatikan lalu yakini betapa tinggi dan luhur kedudukan junjungan besar kita.

Ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah berimbas kepada umat Baginda. Mereka juga tinggi kedudukan mereka di sisi Allah sehingga melayakkan mereka untuk menjadi tuan umat manusia sekalian. Umat Islam diangkat oleh Allah untuk menjadi saksi ke atas semua peristiwa yang berlaku ke atas manusia. Allah berfirman maksudnya: "Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan yang salah)." (Surah al-Baqarah: 143)

Ketuanan umat Islam ke atas umat yang lain adalah pilihan Allah menerusi imbasan peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ke atas Nabi mereka. Ketuanan ini mesti digunakan dengan sebaik-baiknya. Mereka harus menyedari tali persaudaraan mereka yang mengalir dalam darah daging mereka. Mereka mesti memantapkan hubungan silaturahim mereka yang terjalin menerusi minda mereka. Dan mereka mesti mengotakan ikatan janji yang sudah mereka buat sesama sendiri.

Ketuanan umat Islam ke atas umat manusia sejagat ini tidak akan direalisasikan dan kemudian kekal berlaku jika mereka melupakan ajaran al-Quran bermaksud: "Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya." (Surah al-Fath: 29) Wallahu a'lam.

(Berita Harian, 3 Ogos 2008)

Nabi sedih ramai wanita penghuni neraka

Rasulullah ceritakan pengalaman saksi balasan dahsyat ketika israk mikraj

SAIDINA Ali berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?"

Baginda SAW menjawab: "Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."


Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah SAW menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak).

"Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri.

"Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka."

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

"Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

"Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

"Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

"Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya."

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah."

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)