Sunday, September 21, 2008

Nabi jadi bapa angkat anak yatim

Suatu ketika, sewaktu Aidilfitri umat Islam di Madinah merayakan hari bahagia itu dengan mengumandangkan takbir dan tahmid setelah memenangi perang menentang hawa nafsu, sebulan menjalankan ibadah puasa Ramadan.

Dengan mengenakan pakaian paling cantik, Rasulullah keluar rumah untuk menunaikan solat berjemaah Aidilfitri.

Di sepanjang jalan, anak kecil berlari-larian penuh kegembiraan menyahut kedatangan lebaran. Pakaian indah dan wajah berseri menghiasi diri, tiada seorang pun yang mempamer wajah duka.

Namun ketika Rasulullah memerhati sudut sebuah bangunan tua, Baginda kehairanan melihatkan seorang anak kecil yang serba tidak terurus dengan pakaian koyak, duduk menghadap dinding sambil menangis.

Baginda pun menghampiri anak kecil itu lalu bertanya: “Hai anakku, mengapa engkau menangis sendirian pada hari kita sedang bergembira?”

Tanpa menoleh untuk melihat siapa yang mengemukakan pertanyaan, anak kecil itu pun menjawab dengan suara penuh sayu: “Bagaimana tidak menangis, mereka punya pakaian baru sedangkan aku, tidak.”

Nabi pun bertanya: “Mengapa engkau tidak berganti pakaian dan bermain dengan kawan sebayamu?”

“Mereka tidak mahu aku menghampiri mereka kerana pakaianku lama dan compang-camping. Dulu, waktu aku masih punya ayah, setiap hari raya aku juga mengenakan pakaian baru, perutku kenyang, duitku juga banyak,” jelas kanak-kanak itu.

“Ayahmu ke mana nak?” tanya Rasulullah.

“Ayahku sudah meninggal. Ibuku sudah kahwin lagi dan nasibku disia-siakan sebab harta peninggalan ayahku dihabiskan oleh ayah tiriku,” jawab anak kecil itu.

Nabi termenung lantas berkata: “Anakku, seandainya Fatimah jadi kakakmu, Ali bin Talib jadi abangmu, Hassan dan Hussain jadi saudaramu dan aku pula jadi ayahmu, apakah engkau suka?”

Anak itu terperanjat dan terfikir kemungkinan orang yang berdiri berhampirannya itu adalah Rasulullah. Lalu, dia pun segera berpaling.

Setelah nyata orang yang berkata-kata itu, si kecil itu tidak dapat membendung kegembiraannya.

“Tentu sekali saya gembira, ya Rasulullah,” katanya sambil memeluk erat kaki Baginda.

Rasulullah pun mendukung anak itu dan dibawanya kembali ke rumah. Dengan tangannya sendiri Rasulullah memandikan anak kecil itu serta mengenakan baju kepada anak yatim itu. Anak kecil itu kemudiannya dihidangkan sarapan pagi serta diberikan pula sedikit wang.

Setelah anak itu mula bermain dan tertawa kegirangan, barulah Rasulullah meneruskan niatnya menuju ke lapangan untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri bersama segenap penduduk Madinah.

Anak kecil itu riang tertawa menghampiri kawan-kawannya yang sedang asyik bersuka ria. Mereka kehairanan melihatnya tertawa gembira, sedangkan baru sebentar tadi dia menangis tersedu-sedu.

Salah seorang daripada mereka pun bertanya: “Hai aneh betul kau. Tadi menangis dan kini tertawa. Apa yang berlaku sebenarnya?”

Anak yatim itu menyahut bangga: “Tadi aku menangis kerana aku lapar.

Sekarang aku tertawa kerana aku kini kenyang. Tadi aku menangis kerana aku tidak punya pakaian cantik, tetapi kini pakaianku indah dan masih baru.

“Juga kini aku punya wang banyak. Tadi aku menangis kerana aku tidak punya ayah, tetapi sekarang aku tertawa kerana aku sudah punya ayah.”

Kawannya bertanya : “Hairan betul. Dari mana kau dapat ayah? Siapa ayahmu sekarang?

Jawab anak kecil itu :”Disebabkan ayah kandungku sudah meninggal maka Rasulullah mengangkatku menjadi anaknya. Rasulullah adalah ayahku sekarang.”

No comments: