Sunday, September 21, 2008

Malam al-Qadar perangsang tingkatkan amalan

LAILATUL Qadar adalah satu daripada malam pada Ramadan. Keistimewaannya diriwayatkan menyamai bilangan 1,000 bulan.

Perkara itu dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 2)

Kebesaran Lailatul Qadar berdasarkan dua perkara.

Pertamanya, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran.

Kedua, pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut Lailatul Qadar kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi.

Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan atau Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Namun, pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan. Hali ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah daripadda Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari Lailatul Qadar hendaklah pada malam ke-27.”

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil daripada 10 malam akhir Ramadan.”

Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satu malam dari Ramadan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al-Mubarak ini.

Penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu.

Ulama bersepakat mengatakan ada beberapa tanda apabila berlakunya malam al-Qadar, antaranya:-

  • Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.

  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan.

  • Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka.

  • Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

    Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagai bulan penuh.

    Ia tidak mempunyai sinar yang terlalu panas yang mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

    Bagaimanapun, pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah biarpun tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

    Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan itu.
  • No comments: